28 Mei 2025 – Sambutan Hari Guru, Hari Kaamatan dan majlis persaraan Encik Andrew Patrick telah dijalankan bertempat di dewan Tun Fuad. Antara objektif program ini dijalankan ialah untuk mengeratkan silaturrahim dalam kalangan guru-guru dan murid, meningkatkan profesion keguruan, memupuk perasaan perpaduan dan muhibbah dalam kalangan murid, membudayakan amalan KBAT dalam pengurusan aktiviti sekolah dan meraikan persaraan Encik Andrew Patrick. Majlis yang dirasmikan oleh Prof. Dr. Morni Kambrie, Yang Di Pertua PIBG SMK Taman Tun Fuad ini turut dihadiri oleh Pn. Norinda Bt Majid, Timbalan YDP PIBG, disamping Pn Halija Bt Hj Jonggang, pengetua SMK Taman Tun Fuad, semua guru, AKP dan semua murid tingkatan 1 hingga 5.
Antara pengisian program ialah sukaneka hari guru, sukaneka kaamatan untuk murid, persembahan “live band” daripada kumpulan Senja, persembahan tarian sambut tamu oleh murid-murid PPKI, deklamasi sajak untuk guru, kuiz untuk guru dimana hadiahnya ditaja oleh YDP PIBG sendiri, penyampaian hadiah anugerah guru, lafaz ikrar hari guru dan persembahan koir daripada semua guru. Majlis yang bertemakan tokoh pahlawan atau tokoh sejarah ini turut mempertandingkan busana terbaik yang berkaitan dengan tema tersebut. Manakala tema hari guru pula ialah Guru Pemacu Reformasi Pendidikan. Program tiga dalam satu ini juga turut meraikan persaraan serta memberi penghargaan kepada Encik Andrew Patrick, selaku ketua kerani di SMK Taman Tun Fuad.
Diharapkan program ini dapat meningkatkan lagi keakraban dan ukhuwah dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid-murid SMK Taman Tun Fuad. Selain itu, sambutan Hari Guru & Kaamatan juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab guru-guru, ibu bapa dan murid murid. Semoga dengan usaha ini murid dapat menambah pengalaman dan mendidik jiwa mereka menjadi insan yang cemerlang dan berperibadi mulia disamping menghargai jasa warga sekolah yang akan bersara.












-En. Ijam @ Mohd Idham Bin Niti
-Cik Norlina Abd Siteh
