30 Oktober 2023 – Bidang Bahasa SMK Taman Tun Fuad telah mengadakan Karnival Bahasa yang berlangsung dari 16 Oktober sehingga 25 Oktober 2023. Karnival Bahasa ini merupakan program anjuran Panitia Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan kerjasama Pusat Sumber SMK Taman Tun Fuad. Objektif program ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat dan kreativiti murid dalam pelbagai pertandingan ko-akademik. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat meningkatkan keyakinan murid dalam kemahiran berbahasa, membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di samping menerapkan dan membudayakan unsur KBAT dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Majlis perasmian karnival ini telah dijalankan pada 16 Oktober di dewan sekolah.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang karnival berlangsung. Panitia Bahasa Melayu telah menganjurkan pertandingan pidato, pertandingan membaca berita, pertandingan peribahasa, pertandingan mengeja dan pertandingan sajak. Panitia Bahasa Inggeris pula telah mengadakan pertandingan Hip Race, Pertandingan Public Speaking, Pertandingan Scrabble dan banyak lagi. Semua pertandingan ini terbuka kepada semua murid Tingkatan 1 hingga Tngkatan 5.
Majlis Perasmian Penutupan Karnival Bahasa telah berjaya dijalankan pada 30 Oktober 2023 yang dirasmikan oleh Puan Halija Binti Haji Jonggang, Pengetua SMK Taman Tun Fuad. Majlis tersebut diadakan dalam suasana yang sangat meriah dengan persembahan murid-murid yang telah memenangi pertandingan-pertandingan yang telah dijalankan. Semua pemenang untuk pertandingan-pertandingan tersebut telah diberikan hadiah wang tunai. Diharapkan karnival ini diteruskan untuk tahun-tahun akan datang untuk mencapai kesejahteraan diri agar menjadi modal insan yang kompeten untuk memenuhi keperluan negara dan seterusnya dapat bersaing di peringkat global.