30 Jun 2025 – Program ceramah motivasi Madani telah dijalankan dengan melibatkan semua murid tingkatan 4 dan 5. Antara objektif program ini dijalankan ialah untuk memberi kesedaran kepada murid tentang kepentingan nilai-nilai Madani seperti kemanusiaan, keadilan, kemakmuran, hormat-menghormati dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian. Objektif kedua ialah membantu individu untuk membuat perubahan positif dalam diri dan persekitaran murid selaras dengan matlamat pembangunan negara, membina kesedaran dan kecintaan terhadap negara serta menggalakkan peranan aktif dalam pembangunan negara manakala objektif terakhir ialah membudayakan amalan KBAT dalam pengurusan aktiviti sekolah. Program ini juga memberi suntikan motivasi kepada murid untuk bersemangat dalam mencapai cita-cita.
Antara pengisian program ialah nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah Airku, dan lagu sekolah diikuti dengan lafaz ikrar Rukun Negara. Ceramah motivasi Madani disampaikan oleh En. Norhasdi Bin Hassan ataupun dikenali sebagai Pak Boi. Ceramah bersemuka dijalankan bersama semua murid tingkatan 5 di surau sekolah manakala tayangan di atas talian (live stream) dijalankan untuk semua murid tingkatan 4 di bilik mesyuarat. Program seumpama ini diharapkan akan dapat meningkatkan semangat dan motivasi murid untuk menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan seterusnya membentuk jati diri positif untuk berjaya.

