DEWAN TUN FUAD, 13 JUN 2025 – Karnival Bahasa dan Peluncuran AINS Nilam peringkat sekolah telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada hari ini dengan wajah-wajah keriangan khususnya buat para peserta yang menang dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan. Karnival ini adalah gabungan Bidang Bahasa (Panitia BM dan BI), Kelab Persatuan BM, Kelab Persatuan BI dan PPKI dengan kerjasama Pusat Sumber Darul Hikmah SMK Taman Tun Fuad. Karnival ini telah dijalankan bermula dengan perasmiannya pada 5 Mei sehingga 13 Jun 2025. Majlis penutupan karnival telah disempurnakan oleh Encik Ghazali bin Ismail, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Sektor Pembelajaran, PPD Kota Kinabalu. Karnival yang diadakan telah memaparkan satu pendekatan dalam usaha mencungkil bakat dan kreativiti para peserta dengan variasi pertandingan yang disediakan. Antaranya ialah Pertandingan Mengulas Buku Cerita, Pidato, Forum, Deklamasi Sajak, Berbalas Pantun, Bahas, Comics Strip Fun, Essay Writing, Poetry Recitation, Public Speaking, Dare to Spell, Scrabble, English Nilam, PBL dan Pertandingan Bahasa di peringkat PPKI. Pada kali ini juga, lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru turut diadakan untuk memberi peluang kepada AJK Tertinggi Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris dan Pengawas PSS untuk mempelajari kepentingan ilmu. Tambahan itu, jualan buku dan majalah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka telah diadakan di Dewan Tun Fuad. Karnival ini bukan sahaja menjadi platfom untuk membina keyakinan diri malah meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid. Selain itu, karnival bahasa ini merupakan usaha menjalin kerjasama utuh dengan pusat sumber sekolah dalam menyalurkan ilmu pengetahuan dan menanamkan minat membaca warga sekolah bagi menyokong program AINS Nilam. Karnival ini juga dilaksanakan selaras dengan dasar MBMMBI iaitu Memartabatkan Bahasa dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris di samping menerapkan serta membudayakan unsur KBAT dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan. Intihannya, Karnival Bahasa SMK Taman Tun Fuad tahun 2025 dapat memberikan banyak manfaat kepada murid-murid perdana dan PPKI untuk berdaya saing dan berkreativiti dalam mencapai potensi diri.




















