Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Taman Tun Fuad 2022

Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Taman Tun Fuad 2022

22 Julai 2023 – Majlis Anugerah Kecemerlangan merupakan hari kemuncak bagi meraikan dan menghargai kejayaan para pelajar yang berjaya mencipta kecemerlangan di sekolah dalam bidang kurikulum. Sehubungan dengan itu, SMK Taman Tun Fuad telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Warga SMK Taman Tun Fuad kali ke-22 tahun 2022. Antara objektif Majlis Anugerah Kecemerlangan ini ialah memberi penghargaan kepada pelajar yang telah mencapai prestasi cemerlang dalam kurikulum. Anugerah ini juga diharapkan dapat memberi motivasi kepada pelajar supaya terus cemerlang. Majlis Anugerah Kecemerlangan ini telah dirasmikan oleh Tuan Desmond Chan selaku Setiausaha Politik. Turut hadir dalam majlis ini ialah Dr. Zorriffah Binti Mohd Kudin selaku Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Dr. Morni Bin Kambrie selaku Yang Dipertua PIBG SMK Taman Tun Fuad, ACP Mohd Zaidi Bin Abdullah selaku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Pn. Salbiha Binti Mohd Salleh wakil daripada IKRAM, dan Encik Suif Sainan selaku Pengetua MSU College Sabah.
Majlis Anugerah Kecemerlangan ini bermula pada jam 8.15 pagi. Ia dimulakan dengan bacaan doa oleh wakil murid, Syakir Bin Bakhir dan diikuti dengan ucapan pengetua. Ucapan perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Desmond Chan selaku Setiausaha Politik Dun Luyang. Acara kemuncak majlis ini ialah penyampaian anugerah kepada para pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik serta penyampaian Anugerah Khas kepada guru-guru. Persembahan daripada wakil pelajar turut diadakan seperti deklamasi sajak dan tarian rampaian bagi memeriahkan lagi majlis ini.
Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar. Tahniah juga diucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga melalui sambutan yang diadakan pada hari ini menjadi pendorong dan menyuntik semangat kepada para pelajar dan warga sekolah untuk bersama-sama berusaha lebih gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply