Piawaian Kompetensi Digital (DCS) telah dikembangkan bersama oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah bertujuan untuk mengukur tahap kecekapan digital belia Malaysia ke arah mempersiapkan mereka untuk masa depan tenaga kerja. DCS menggunakan pendekatan gamifikasi yang mengukur tahap kecekapan digital. Pada tahun ini, seramai 20 pelajar Tingkatan 3 dan 20 pelajar Tingkatan 5 SMK SANZAC telah mengambil bahagian dalam gamifikasi “Tapir Hero – Kembalikan Matahari” peringkat Kebangsaan di rumah semasa tempoh pelaksanaan PKPB. Admin sekolah bagi DCS ialah Guru Penyelaras Bestari, Puan Nowenna Willie D Tamsin. Pendaftaran pelajar telah dijalankan di rumah masing-masing dengan bantuan Penolong Kanan Ko-kurikulum SMK SANZAC, Cik Ho Nyuk Ting dan juga Ketua Panitia ASK/SK, Puan Noor Ashikin. Walaupun dalam kekangan yang dihadapi semasa pelaksanaan PKPB, DCS 2020 telah dijalankan dengan jayanya dan kesemua 40 pelajar telah berjaya melepasi 20 peringkat dalam gamifikasi digital tersebut. Tidak ada seorang pun pelajar yang gagal dalam menghadapi cabaran dalam gamifikasi tersebut. Semua pelajar SMK SANZAC layak mendapat sijil Peringkat Kebangsaan daripada MDEC dan KPM. Di sini ingin saya maklumkan, terdapat seorang pelajar Tingkatan 5 SMK SANZAC yang mencapai peringkat tertinggi dalam gamifikasi digital tersebut. Mohamad Afiq Iskandar telah layak dan diiktiraf mencapai tahap Digital Innovator. Tahniah diucapkan kepada pelajar ini.