19 Mei 2023 – Sambutan Hari Guru dan Pesta Kaamatan merupakan sambutan-sambutan yang diadakan setiap tahun bagi meraikan guru-guru yang banyak berjasa dalam bidang Pendidikan serta meraikan sambutan masyarakat Kadazan-Dusun-Murut di Sabah selepas musim menuai untuk semangat padi. Oleh itu, SMK Taman Tun Fuad telah mengadakan majlis Sambutan Hari Guru dan Pesta Kaamatan yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara guru-guru, PIBG serta seluruh warga sekolah. Selain daripada itu, sambutan tahunan iaitu Sambutan Ramah Mesra Aidilfitri peringkat sekolah turut sama-sama dijalankan.
Pelbagai aktiviti dan acara menarik telah diadakan sepanjang tiga program ini berlangsung iaitu dimulakan dengan sukaneka Pesta Kaamatan, yang melibatkan murid-murid mengikut rumah sukan masing-masing. Contoh sukaneka yang dipertandingkan adalah acara memijak belon dan ‘flip bottle’. Selain itu, pada sebelah petang hari Khamis, 18 Mei telah diadakan sukaneka hari guru. Antara acara yang dipertandingkan adalah radio rosak dan banyak lagi. Majlis penutupan bagi ketiga-tiga sambutan ini telah dimulakan dengan ucapan daripada Pengetua, Puan Halija Binti Haji Jonggang dan seterusnya majlis dirasmikan oleh Puan Jalilah Binti Apiang, Pegawai Unit Pengupayaan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu. Selepas itu, program diteruskan dengan ikrar Hari Guru dan nyanyian ‘Kami Guru Malaysia’, persembahan nyanyian dan tarian daripada wakil murid dan wakil guru, penyampaian anugerah guru, penyampaian hadiah anugerah Rumah Terbuka Terbaik Antara Kelas-Kelas dan lain-lain.
Di samping itu, pihak pentadbir sekolah juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan Jalilah Binti Apiang, selaku Pegawai Unit Pengupayaan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan Puan Norinda Binti Majid selaku Naib Yang Dipertua PIBG yang sudi hadir bersama warga SMK Taman Tun Fuad untuk memeriahkan lagi majlis tersebut.




