19 Jun 2024 – Satu sambutan perayaan Hari Raya Aidil Adha peringkat SMK Taman Tun Fuad telah diadakan dengan penuh kesyukuran dalam kawasan sekolah. Umumnya, Aidil Adha merupakan perayaan yang disambut umat Islam seluruh dunia. Oleh itu, SMK Taman Tun Fuad dengan sokongan padu pihak PIBG meneruskan lagi perayaan ini sebagai satu acara tahunan yang wajib disambut di peringkat sekolah. Objektif utama sambutan ini adalah meningkatkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan warga sekolah. Selain itu, program ini juga dapat memupuk kemahiran pengurusan majlisa secara KBAT dalam kalangan guru dan murid. Tambahan pula, terdapat silibus penyembelihan menengah atas dalam subjek Pendidikan Islam. Lantaran itu, program ini banyak membantu memberikan pendedahan tentang pelaksanaan sembelihan yang sebenar kepada murid-murid Muslim khususnya pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5.
Aktiviti bermula dengan sesi sembelihan dan seterusnya melapah daging korban. Setelah bergotong-royong melapah, mereka meneruskan dengan acara memotong dan menimbang daging korban. Daging-daging tersebut diagihkan kepada murid-murid B40 dan seluruh warga sekolah seperti pekerja pembersihan, pekerja kantin, sekuriti dan kerani sekolah. Aktiviti diteruskan dengan acara memasak bagi jamuan Rumah Terbuka Aidiladha diadakan sekitar jam 11 pagi yang dihadiri oleh seluruh warga sekolah.