24 Jun 2023 – SMK Taman Tun Fuad telah melakar peristiwa Muhibbah dengan mengadakan Larian Amal SMK Taman Tun Fuad 2023. Program ini merupakan satu penanda aras kepada jalinan kerjasama erat antara Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Tun Fuad. Pelaksanaannya ini bermula pada pukul 6.40 pagi dan ditamatkan pada jam 11.00 pagi. Kekuatan program ini adalah kerana ianya telah melibatkan semua warga sekolah , ibu bapa , guru , Anggota Kumpulan Pelaksana sekolah (AKP) , Pegawai Perhubungan Polis Sekolah, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan beberapa Agensi luar lain. Terdapat juga penyertaan daripada pelajar luar serta orang awam yang berminat. Justeru itu, sebanyak 1,500 keping kad larian amal telah diedarkan.

Membina permuafakatan dengan slogan ‘Mengorak Langkah Sederap Seirama’, pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berganding bahu menjayakan program. Pelaksanaan program ini , bertujuan untuk mencapai beberapa matlamat . Fokus utama ialah untuk mengumpul dana untuk tabung PIBG SMKTTF bagi membantu pihak sekolah dalam pembangunan prasarana sekolah. Antaranya adalah untuk membina surau sekolah, menaiktaraf dewan sekolah, menambah baik kawasan pakir kereta, membina pagar di kawasan sekolah dan juga untuk penyelenggaraan van PIBG. Kesemua matlamat ini amat penting untuk menyediakan persekitaran yang selamat, selesa dan bermanafaat kepada murid dan warga sekolah.

Bagi melahirkan murid yang sihart dan cergas, semua murid dilibatkan. Justeru, murid yang hadir dikehendaki memakai tshirt sekolah mewakili warna rumah sukan masing-masing. Namun bagi murid yang mendapat kutipan wang pada kad larian amal mencapai RM 60.00 dan ke atas, mereka akan mendapat sehelai tshirt larian amal. Acara Larian ini dimulakan seawal jam 6.40 pagi dengan memberi taklimat ringkas dan acara senamrobik. Senamrobik ini disertai oleh murid dan guru-guru serta peserta luar.

Pada jam 7.30 pagi Pn. Halija Hj. Jonggang selaku Pengetua SMK Taman Tun Fuad, telah menyempurnakan acara melepaskan larian kumpulan pertama terdiri daripada kumpulan murid lelaki, disusuli dengan murid perempuan dan murid PPKI. Murid-murid yang berjaya menyempurnakan larian akan memberi mata merit kepada rumah sukan yang diwakili.
Terdapat lima kategori hadiah pemenang yang disediakan iaitu Kategori Pelajar Lelaki (Menengah atas), Kategori Pelajar Perempuan (Menengah atas), Kategori Pelajar Lelaki (Menengah rendah) Kategori Pelajar Perempuan (Menengah rendah) dan Kategori Orang Awam. Johan akan menerima hadiah wang bernilai RM300.00, tepat kedua akan menerima wang bernilai RM200.00, manakala tempat ketiga akan menerima wang tunai sebanyak RM100.00

Acara cabutan bertuah diadakan sebelum acara pelancaran perasmian. Sebanyak 47 cabutan bertuah telah disediakan, berupa barang-barang letrik dan juga perkakas keperluan harian. Hadiah untuk cabutan bertuah ini telah diusahakan oleh PIBG sekolah.

Kemuncak program ini adalah acara perasmian, yang disempurnakan oleh En. Amos Thein Tze Tin, Setiausaha Perhubungan Awam kepada Yang Berhormat Phoong Jin Zhe (ADUN Luyang) Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.

Aktiviti ini mendapat sokongan padu daripada semua ibu bapa, warga SMK Taman Tun Fuad serta warga luar sekolah. Sesungguhnya Kerjasama ini, dapat mengeratkan hubungan pintar antara semua pihak. Program ini juga dapat mewujudkan warga sekolah yang cergas dan sihat sesuai dengan tema larian amal ini iaitu “ Jom sihat ”. Semoga program seumpama ini akan terus diperkasakan pada masa akan datang demi melahirkan warga yang sihat, cergas dan cemerlang.   

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Proudly powered by Mohd Idremzizan