10 Mei 2025 – Majlis Anugerah Kecemerlangan (MAK) SMK Taman Tun Fuad tahun 2024 telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Mei 2025 (Sabtu) dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi bertempat di Dewan Terbuka SMK Taman Tun Fuad.
Bertemakan ‘Pendidikan Digital Mendukung Aspirasi Negara Madani’, majlis ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam SPM, tetapi juga dalam peperiksaan dalaman sekolah yang menjadi platform dalam mengukuhkan semangat juang dan motivasi dalam kalangan pelajar lain.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Encik Suhaimi bin Haji Matshah, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu yang telah merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan pada tahun ini. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pelajar atas pencapaian mereka dan menyeru mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dr. Morni bin Kambrie (YDP PIBG SMK Taman Tun Fuad), Puan Jenny Boniol (wakil YB Jannie Lasimbang), Puan Dk. Fazliyanah Pg. Ali (wakil MSU College), Encik Abd. Wahab Abd Rasit (wakil ProMaster Team Sdn Bhd), Puan S. Junainah Sharafuddin (wakil Pusat Zakat dan Fitrah) dan Datin Hajah Sudina @ Sulina binti Sante (Guru SMK Taman Tun Fuad).
Terdapat beberapa anugerah yang diraikan iaitu Anugerah Khidmat Bakti, Anugerah Kurikulum Peperiksaan Dalaman(kedudukan dan pencapaian terbaik mata pelajaran), Anugerah Khas PPKI, Anugerah Kurikulum SPM 2024, Anugerah Khas Panitia (pencapaian 100% dan peningkatan GPMP), Anugerah Pengurusan Bidang Terbaik dan Anugerah Tokoh Murid.
Kehadiran ibu bapa, guru-guru, dan para jemputan khas turut memeriahkan acara ini yang diserikan lagi dengan pelbagai persembahan menarik oleh pelajar seperti tarian sambut tamu oleh murid-murid PPKI dan persembahan sajak oleh Nur Ashierra Natasha binti Mohd Alfian dari 5 Amanah. Sambutan hangat dan sokongan yang diberikan menunjukkan komitmen tinggi komuniti sekolah termasuk ibu bapa terhadap kecemerlangan pendidikan di SMK Taman Tun Fuad.






