Menutup Tirai Karier dengan Kenangan Abadi

Menutup Tirai Karier dengan Kenangan Abadi

13 Disember 2024- Suasana sekolah di SJK( C ) St.James dipenuhi dengan bangga namum diselimuti kesayuan apabila Penolong Kanan Pentadbiran kami yang tercinta, Puan Hiew Mei Ping telah melangkah ke fasa baharu dalam kehidupannya selepas 39 tahun menyumbangkan bakti dalam dunia pendidikan.

 

Dengan gelaran yang layak sebagai Permata Dalam Dunia Pendidikan, Puan Hiew telah meninggalkan legasi yang besar kepada para guru dan murid-murid.  Beliau dikenali sebagai seorang yang professional, berjiwa besar, berintegriti, dedikasi, dan penuh kasih sayang dalam mendidik dan membimbing generasi muda. Sepanjang tempoh kerjayanya yang panjang, beliau bukan sahaja memastikan segala aspek pentadbiran berjalan lancar, tetapi turut menjadi sumber inspirasi kepada guru-guru dan murid-murid.

 

Sebagai seorang pendidik yang penuh kasih sayang, Puan Hiew sentiasa menaruh harapan yang tinggi kepada anak didiknya. Beliau percaya bahawa setiap murid memiliki potensi untuk berjaya, dan beliau tidak pernah jemu memberikan sokongan dan dorongan. Keikhlasannya terpancar dalam setiap kata nasihat dan tindakannya yang penuh belas ihsan.

 

Guru-guru pula sentiasa menjadikan beliau sebagai rujukan dan teladan. Tegas tetapi mesra, profesional dan berjiwa besar, Puan Hiew adalah insan yang dihormati oleh semua. Keupayaannya mengimbangi tugas pentadbiran dan hubungan kemanusiaan menjadikan beliau ikon bak permata yang sukar dicari ganti.

 

Linangan air mata yang mengiringi ucapan penghargaan daripada Puan Hiew  meninggalkan jejak yang mendalam di hati setiap warga St. James. Beliau menitipkan pesan-pesan kepada anak-anak murid serta kata-kata semangat kepada rakan sekerjanya.

 

Beliau merupakan ikon ibarat permata yang sukar dicari ganti. Kepada Puan Hiew Mei Ping,  terima kasih atas segala jasa dan pengorbananmu. Semangat dan dedikasimu akan terus hidup dalam setiap hati yang pernah disentuh atas kehadiranmu.

 

Semoga kehidupan selepas persaraan ini membawa kebahagiaan yang melimpah-ruah, seperti mana kebahagiaan yang telah Puan Hiew curahkan kepada kami semua.

 

Selamat bersara, permata St. James! Semoga hari-hari mendatang dipenuhi dengan kegembiraan dan kenangan indah. Dunia pendidikan akan terus merindui sentuhan istimewamu.

 

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply