Anak kecil bermain layang,
Tali terputus melayang jauh.
Taklimat hari ini panduan cemerlang,
Agar langkah awal jadi teguh.
Burung nuri terbang berkawan,
Hinggap sebentar di dahan ketapang.
Ibu bapa dan guru berkerjasama sepadan,
Membentuk murid berilmu dan lapang.
Sabtu, 7 Disember 2024, SJKC St. James telah mengadakan Taklimat Perjumpaan Ibu Bapa dan Pendaftaran Murid Baharu Tahun 1 bagi sesi 2025-2026. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal tentang sejarah gemilang sekolah sambil memperkenalkan barisan pentadbir dan guru kelas Tahun 1 yang berdedikasi.
Selain itu, taklimat berkaitan pendekatan PdP, peraturan sekolah dan pengenalan kelas minat kokurikulum turut diberikan untuk memberikan gambaran menyeluruh kepada ibu bapa dan murid-murid.
Program ini tidak berakhir di situ sahaja! Para ibu bapa dan murid baharu berpeluang membuat pendaftaran, membayar yuran, dan mengambil buku baharu di kelas masing-masing. Untuk menambahkan kemeriahan, pelbagai kiosk turut disediakan bagi mencipta suasana yang mesra dan interaktif.
Taklimat ini mendapat sambutan yang hangat. Ini membuktikan komitmen pihak sekolah dalam memastikan persediaan yang terbaik untuk murid-murid baharu bagi memulakan sesi persekolahan mereka dengan penuh keyakinan.
Selamat datang ke SJK( C ) St.James!