DEWAN TUN FUAD, 13 MAC 2026 – Program tahunan iaitu Karnival Bahasa dan Peluncuran AINS Nilam peringkat sekolah telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan penyertaan murid perdana dan PPKI. Karnival ini adalah gabungan Bidang Bahasa (Panitia BM dan BI), PPKI dengan kerjasama Pusat Sumber Darul Hikmah SMK Taman Tun Fuad. Karnival ini telah dijalankan bermula dengan perasmiannya pada 23 Februari 2026 sehingga 13 Mac 2026. Majlis penutupan karnival telah disempurnakan oleh Cik Yong Pei Na, Pegawai SISC+ Bahasa, PPD Kota Kinabalu mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu. Antara Pertandingan-pertandingan yang dijalankan ialah Mengulas Buku Cerita, Pidato, Forum, Deklamasi Sajak, Dendangan Syair, Bahas, Story telling, Poetry Recitation, Public Speaking, Dare to Spell, Scrabble, English Nilam, PBL dan Pertandingan Bahasa di peringkat PPKI seperti Deklamasi Sajak, Susun ikut urutan, Teka Maksud Peribahasa, Poem Recital, Make it Sense Short Story dan Complete My Story. Tambahan itu, jualan buku dan majalah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka telah diadakan di Dewan Tun Fuad pada 12 Mac 2026. Karnival yang diadakan telah memaparkan satu pendekatan dalam usaha mencungkil bakat dan kreativiti para peserta dengan variasi pertandingan yang disediakan untuk persediaan pertandingan ko-akademik. Selain itu, Karnival Bahasa menjadi platfom untuk membina keyakinan diri malah meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selaras dengan dasar MBMMBI iaitu Memartabatkan Bahasa dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris di samping menerapkan serta membudayakan unsur KBAT. Karnival bahasa ini juga merupakan usaha menjalin kerjasama utuh dengan pusat sumber sekolah dalam menyalurkan ilmu pengetahuan dan menanamkan minat membaca warga sekolah bagi menyokong program AINS Nilam. Sebagai kesimpulan, Karnival Bahasa SMK Taman Tun Fuad tahun 2026 dapat memberikan banyak manfaat kepada murid-murid perdana dan PPKI untuk berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berkreativiti dalam mencapai potensi diri.














































