25 September 2025 – Program Jalinan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS dan High School of University of Tsukuba, Jepun bersama SMK Taman Tun Fuad telah berlangsung dengan jayanya. Antara objektif program ini dijalankan ialah untuk memberi pendedahan kepada murid SMK Taman Tun Fuad bersama dengan murid dari High School of University Tsukuba Jepun untuk bertukar buah fikiran, pendapat dan pengalaman sepanjang program, menyediakan ruang dan peluang kepada murid dan pihak luar untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti alam sekitar dan aktiviti pendidikan sekolah, mewujudkan jaringan kerjasama dengan pihak luar – Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS serta High School of University Tsukuba Jepun dan membudayakan amalan KBAT dalam pengurusan alam sekitar di peringkat sekolah.
Program ini disertai oleh 2 orang guru iaitu Yoshikazu Tatemoto 建元 喜寿 dan Miho Miyazaki 宮﨑 美帆 bersama 7 orang pelajar dari High School at Sakado, University of Tsukuba, seorang guru iaitu Koji Mistumune 光宗 宏司 bersama 6 orang pelajar dari Ehime University Senior High School, dan 3 orang wakil dari IBTP yang diketuai oleh Pn. Pethrine Jimbau, Kurator Kanan IBTP bersama Pn. Karen Richard, Setiausaha Pejabat dan En. Azrie Alliamat, Penolong Pegawai Sains.
Antara pengisian program ialah perkongsian tentang fokus subjek eko-pelancongan, aktiviti belajar bersama murid di kelas, ice-breaking, pembahagian kumpulan, bermain permainan tradisional, “hiking”, aktiviti penanaman pokok serta sayur. Manakala murid-murid PPKI pula telah membuat persembahan sambut tamu, tarian magunatip, pemakaian baju tradisi suku kaum Kadazan Dusun serta demonstrasi “baking/pastry”. Sebagai sekolah angkat kepada Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, pelbagai aktiviti termasuklah ’networking’ dengan SMK Taman Tun Fuad amat dititikberatkan untuk membuka peluang kepada kedua-dua pihak menjalankan aktiviti bersama dalam memperkukuhkan keberkesanan program yang diatur. Program ini bukan sahaja telah dapat menjalinkan hubungan antarabangsa antara SMK Taman Tun Fuad, Universiti Malaysia Sabah dan negara Jepun tetapi juga dapat memberikan pendidikan untuk meningkatkan lagi usaha pemeliharaan alam sekitar, biodiversiti, pemuliharaan flora dan fauna serta ekologi tropika.





