Pada 7 Oktober 2023 bersamaan dengan cuti umum sempena hari kelahiran Yang Di-tua Negeri Sabah, Panitia Pendidikan Islam SJK ( C ) St. James telah mengadakan Kem Bestari Solat dengan kolaborasi bersama Persatuan Siswazah Sabah ( PSS ) . Kem ini berlangsung pada pukul 7.30 pagi hingga pukul 4.30 petang dan disertai oleh seramai 115 murid Islam. Ianya berlangsung dengan sokongan dan komitmen penuh daripada pihak Guru Besar dan Ibubapa yang membenarkan semua murid untuk menghadiri kem ini walaupun pada hari cuti sekolah
Tujuan kem Bestari Solat ini adalah untuk mendedahkan murid kepada ibadah utama dalam Islam iaitu Solat Fardhu . Selain itu, cara berwuduk dan cara mendirikan solat dengan betul turut diberi penekanan. Di samping itu, kem ini dapat memberi pemahaman akan konsep ibadah yang sempurna terhadap murid khususnya solat dan wuduk disamping membentuk murid-murid ke arah generasi yang soleh dan solehah. Diharapkan kem ini dapat memupuk semangat menerapkan kecintaan dan ketakwaan terhadap Allah SWT dan RasulNya. Antara pengisian sepanjang kem ini berlangsung ialah Sesi Penerangan tentang Wuduk dan Perlakuan Solat yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hanis Zakhilan, Pensyarah dari Kolej Yayasan Sabah, Seusai itu, murid-murid melakukan praktikal wuduk dan perlakuan solat dengan bimbingan para fasilitator mengikut kumpulan.
Pada sesi petang selepas makan tengahari dan Solat Zohor, semua murid disajikan dengan aktiviti permainan dalam kumpulan seperti My Puzzle, Batu Sabah, Piramid , Telur Itik, Bola Naga, Langkah Pejuang dan Shoot To Kill. Penganjur menyediakan hadiah kepada semua murid yang telah berjaya menyertai semua aktiviti yang disediakan. Hadiah adalah dalam bentuk Mini Sejadah dan alat-alat tulis. Semua murid berasa gembira dan berharap agar aktiviti ini akan diadakan pada masa akan datang.