USS Ashland, US Navy yang singgah di Pelabuhan Sepanggar, hari ini mengadakan Program Komuniti bersama DBKK di SMK Inanam. Seramai 15 anggota USS Ashland dan kira-kira 70 anggota DBKK bersama warga SMK Inanam telah mengadakan aktiviti gotong-royong yang bermula pada jam 9.00 pagi. Turut serta dalam program ini ialah Mr. Bradley Hurst, dari Kedutaan US di Kuala Lumpur dan pegawainya Shanon Phang.  Tuan Chua Vun Hua, Jurutera DBKK pula mewakili Mayor DBKK untuk menyertai program hari ini. JKR Kota Kinabalu juga antara agensi yang menyertai program hari ini.

Aktiviti yang dijalankan oleh USS Ashland dan DBKK ialah menanam pokok di kawasan luar pagar sekolah dan mengecat tembok sekolah. Syarikat cat Nippon Paint telah berbesar hati menyumbangkan kira-kira 200 liter cat untuk aktiviti mengecat semula tembok sekolah. Manakala aktiviti gotong-royong di dalam sekolah melibatkan pembersihan taman-taman mini, kolam ikan dan menceriakan kelas yang telahkan dijalankan oleh guru dan pelajar.

Leftenan Jin Choi, Paderi USS Ashland, berkata program ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara Amerika Syarikat dan Malaysia serta memberi sumbangan kepada komuniti setempat, terutama sekali SMK Inanam dan kawasan sekitarnya. Manakala Pengetua SMK Inanam, Bonda Mozidah Hamzah dalam temubual bersama RTM berkata, program sebegini memberi semangat, motivasi dan inspirasi kepada para pelajar dalam menjalankan aktiviti keceriaan dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Beliau juga berkata, aktiviti ini menunjukkan bahawa pembelajaran bukan sahaja berlaku di bilik darjah, malah pembelajaran di luar bilik darjah lebih berkesan dalam membentuk kemenjadian murid.

   

Penutupan program diadakan di dewan sekolah pada jam 11.00 pagi dengan didahului dengan ucapan Pengetua, ucapan wakil Kedutaan Amerika Syarikat dan ucapan Leftenan Jin Choi mewakili USS Ashland. Seterusnya tetamu diraikan dengan persembahan tarian oleh pelajar-pelajar Kelab Kebudayaan dengan diiringi oleh kumpulan muzik D’ Mama Gorgeous yang dianggotai oleh guru-guru dan AKP SMK Inanam. Program hari ini tamat pada kira-kira jam 12.30 tengah hari. Seluruh warga SMK Inanam menyifatkan program komuniti dengan negara luar yang julung kali diadakan ini sebagai sangat berjaya dan memberi impak yang sangat positif kepada sekolah dan kawasan sekitarnya. Semoga program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Galeri Foto.

Leave a Reply

Proudly powered by Mohd Idremzizan