Minggu Sains SKK SJK(C) St. James 2025 yang berlangsung pada 8 hingga 9 Mei telah berjaya menarik minat warga sekolah dengan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif. Antara sorotan utama ialah pameran gerai Sains yang dikendalikan oleh murid-murid Tahun 5 dan 6. Setiap gerai menampilkan eksperimen yang mengujakan serta menerapkan konsep-konsep Sains dan menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman. Murid-murid berpeluang melihat secara dekat demonstrasi seperti pemerhatian organ haiwan, letusan gunung berapi buatan (model volcano), dan reaksi pembakaran buih hidrogen, yang disampaikan dengan penerangan saintifik yang jelas dan kreatif.
Selain itu, murid-murid turut menikmati tontonan realiti maya (VR) yang membawa mereka meneroka dunia mikroorganisma dan sistem suria secara imersif. Gerai bertemakan elektronik asas, eksperimen ketumpatan cecair, dan litar mudah turut mencuri tumpuan dengan penggunaan bahan harian yang inovatif. Minggu Sains ini bukan sahaja meningkatkan minat murid terhadap Sains, malah memupuk kemahiran komunikasi, kerjasama, dan pemikiran kritikal di kalangan murid-murid.
Tahniah kepada semua murid dan guru yang terlibat dalam menjayakan minggu Sains ini!