Pada 22 Februari 2025, satu detik bersejarah telah tercipta di SJKC St. James apabila dewan baharu yang dinanti-nantikan akhirnya dirasmikan dalam sebuah majlis yang penuh berkat. Majlis ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran tetamu kehormat, Archbishop Datuk John Wong Soo Kau dan Rev. Fr. Cosmas Lee yang menyempurnakan perasmian dengan penuh simbolik dan penuh berkat.
Dewan sekolah diwarnai dengan wajah-wajah ceria daripada para guru dan murid hingga ibu bapa yang hadir untuk menyaksikan detik bersejarah ini. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Archbishop Datuk John Wong Soo Kau dan Rev. Fr. Cosmas Lee dengan memohon keberkatan agar dewan ini menjadi pusat ilmu dan kejayaan untuk generasi akan datang.
Detik yang paling mengasyikkan hadir apabila persembahan nyanyian rohani bergema di seluruh dewan lalu membangkitkan suasana yang bersyukur dan menyentuh hati para hadirin.
Kemeriahan semakin terasa dengan kehadiran tetamu kehormat, ibu bapa, guru-guru, dan murid-murid yang bersama-sama menyaksikan peristiwa bersejarah ini. Dewan yang luas dan dilengkapi kemudahan moden ini diharapkan bukan sahaja menjadi tempat perhimpunan rasmi sekolah, tetapi juga menjadi pusat pelbagai aktiviti, termasuk pertandingan, persembahan seni, seminar, dan program pembangunan murid. Dengan adanya kemudahan ini, murid-murid dapat diasah dalam pelbagai bidang, sekaligus melahirkan generasi yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Sebagai simbolik perasmian, Archbishop Datuk John Wong Soo Kau menyempurnakan gimik pelancaran dengan upacara menandatangani plak dan diiringi tepukan gemuruh daripada para hadirin. Majlis diteruskan dengan sesi jamuan ringan, di mana para tetamu mengambil peluang untuk beramah mesra sambil menikmati hidangan yang disediakan. Tidak ketinggalan, sesi bergambar turut diadakan untuk merakam detik istimewa ini sebagai kenangan abadi.
Majlis perasmian ini bukan sekadar satu acara biasa, tetapi simbol kemajuan dan kebersamaan seluruh warga sekolah. Dengan semangat baharu yang dibawa oleh dewan ini, SJKC St. James terus bertekad untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek pendidikan serta membina generasi yang berkualiti dan berwawasan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian hebat di masa hadapan!
Dewan Megah, Aspirasi Gagah – Melakar Masa Depan Gemilang!