2 November 2022 – Karnival Bahasa peringkat sekolah merupakan salah satu pendekatan dalam usaha untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat yang terpendam untuk murid perdana dan PPKI. Terdapat pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dipertandingkan sepanjang satu bulan bermula pada 19 September sehingga 28 Oktober 2022. Antara pertandingan yang berjaya dilaksanakan ialah mendeklamasi sajak (BM dan BI), pertandingan pidato/syarahan (BM dan BI), Pertandingan Bercerita, Pertandingan Mengeja, Pertandingan menulis esei (BM dan BI), Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL). Selain itu, aktiviti-aktiviti untuk murid- murid PPKI turut dijalankan dalam BM dan BI iaitu Pertandingan mengeja dan melengkapkan lirik lagu. Kerjasama yang padu dengan Unit Pusat Sumber sekolah juga merupakan usaha untuk membentuk golongan murid yang berilmu pengetahuan, kreatif dan berdaya saing serta penerapan minat membaca.
Antara objektifnya ialah mencungkil bakat dan kreativiti murid dalam aktiviti yang dijalankan untuk persediaan pertandingan ko-akademik, meningkatkan kemahiran berbahasa, bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, membina keyakinan diri dan semangat juang yang tinggi serta berdaya saing dalam kalangan murid, menerapkan unsur KBAT dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan di peringkat sekolah dan menjalinkan Kerjasama dengan Pusat Sumber dalam menyalurkan ilmu pengetahuan dan menanamkan minat membaca bagi menyokong program Nilam.
Penutupan Karnival Bahasa peringkat SMK Taman Tun Fuad disempurnakan oleh Puan Yong Pei Na iaitu Pegawai SISC+ Pejabat Pelajaran Daerah KK dan beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada puan pengetua, barisan pentadbir sekolah serta Jawatankuasa Karnival Bahasa yang telah berjaya menganjurkan program tersebut. Beliau berharap agar murid-murid akan mengambil peluang pada masa akan datang untuk mengikuti mana-mana aktiviti bagi mengetengahkan bakat masing-masing. Pada majlis penutupan tersebut juga, penyampaian sijil dan hadiah turut diberikan kepada para pemenang. Persembahan daripada para pemenang pertandingan bagi BM dan BI serta Choral Speaking dari murid-murid PPKI menceriakan lagi majlis penutupan. Pn. Yong turut melawat pameran PBL dan diberi penerangan oleh murid-murid.