16 Julai 2022 – SMK Taman Tun Fuad, tuan rumah Kejohanan Catur Sekolah Menengah Peringkat MSSD Kota Kinabalu pada kali ini telah mendapat sambutan penyertaan daripada sekolah-sekolah menengah dalam PPD Kota Kinabalu. Sebanyak 19 buah sekolah dan seramai 230 orang murid telah menyertai kejohanan pada kali ini. Kejohanan Catur ini merupakan program tahunan Sektor Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu di bawah kelolaan unit sukan. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Fuad telah diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan catur sekolah menengah kategori bawah 15 tahun (lelaki dan perempuan) dan kategori bawah 18 tahun (lelaki dan perempuan). Kejohanan ini sangat relevan dengan kehendak Kementerian Pendidikan iaitu untuk mencungkil bakat dan mengetengahkan bakat-bakat baru serta mengasah bakat-bakat sedia ada dan membentuk peribadi murid sejajar dengan JERIS yang ditekankan dalam sistem pendidikan Malaysia.
Kejohanan ini telah mencatatkan kejuaraan individu kategori lelaki bawah 15 tahun bagi adik Muhammad Tirmidzi Abdul Sahim dari SM Maktab Sabah, adik Christal Conera Jasson dari SMK Bandaraya bagi kategori perempuan bawah 15 tahun, adik Adam Mikail Ab Halim dari SM Sains Sabah bagi kategori lelaki bawah 18 tahun dan adik Adellisa Cmyrna Maimin dari SM Sains Sabah bagi kategori perempuan bawah 18 tahun. Manakala, johan keseluruhan kategori lelaki bawah 15 tahun telah dimenangi oleh SMK Agama Kota Kinabalu, johan keseluruhan kategori perempuan bawah 15 tahun telah dimenangi oleh SMK Bandaraya, manakala johan bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan bawah 18 tahun telah dimenangi oleh SM Sains Sabah. Tahniah dan syabas kepada semua pemenang.
Pihak sekolah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada En. Muammar bin Julkarnain, Presiden Persatuan Catur Negeri Sabah kerana sudi hadir dalam majlis perasmian penutupan kejohanan catur pada kali ini.