KOTA KINABALU, 12 OKTOBER – Buat julung-julung kalinya, Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu telah melakar sejarah apabila Majlis Graduasi Tingkatan 5 telah diadakan di Shangri-la Tanjung Aru Resort and Spa pada tahun 2019. Dengan jubah baru dan topi serba biru yang dipakai oleh para graduan, telah menyuntik semangat dan pengiktirafan kepada murid-murid Tingkatan 5 yang kini di ambang menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.
Majlis graduasi tersebut bermula pada jam 12.45 tengahari dengan perarakan akademik yang terdiri daripada guru-guru kelas Tingkatan 5 dan Ketua-ketua bidang serta perarakan utama yang didahului dengan penolong-penolong kanan, Pengetua sekolah dan tetamu kehormat. Di dalam dewan yang indah murid-murid berdiri kemas menyambut perarakan di tempat masing-masing tampan segak dan manis berpakaian graduasi kebiruan.Majlis rasmi dimulakan dengan bacaan buka sidang Majlis Graduasi yang dipimpin oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Han Wai Kuan.
Seterusnya, sidang dimulakan dengan ucapan pengetua sekolah, Dr. Mary Gambidau. Dalam ucapannya, Dr. Mary melafazkan syukur kepada Tuhan kerana Majlis Graduasi Tingkatan 5 yang julung kali diadakan sejak sekolah ini ditubuhkan. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pengurusan guru-guru SM All Saints dan jawatankuasa pelaksana yang diselaraskan oleh Pn. Lily Yong dan Pn. Angelina Labansing atas komitmen yang tinggi dalam memastikan majlis ini dijalankan dengan sempurna. Beliau turut berterima kasih di atas kesudian Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau untuk hadir dan merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 kali pertama Sekolah Menengah All Saints yang disaksikan oleh lebih 200 orang ibu bapa dan tetamu. Tidak dilupakan juga ibu bapa yang hadir untuk memberi sokongan moral dan memeriahkan lagi majlis itu.
Seterusnya, tetamu kehormat, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau telah menyampaikan ucapan yang penuh dengan inspirasi sebelum merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 Tahun 2019. Dalam ucapannya, beliau berasa kagum dengan Sekolah Menengah All Saints sebagai salah satu sekolah mubaligh yang telah wujud sejak 116 tahun lamanya dan telah menghasilkan ramai pemimpin di Negeri Sabah. Beliau turut berkongsi cerita serba sedikit kepada para murid tentang perjalanan hidupnya sebagai seorang anak kampung, kurang mendapat pendedahan pendidikan seperti di sekolah bandar namun berkat kerja keras akhirnya beliau ditawarkan biasiswa dan belajar di Sekolah Menengah Sains Selangor.
Beliau juga teruja untuk membawa kesedaran kepada para murid agar terus membudayakan kecemerlangan tanpa mengira tempat. Beliau turut menggesa agar murid-murid giat melakukan inovasi dan inkuiri penemuan untuk menyelesaikan masalah ekonomi hari ini dan mengurangkan kebergantungan tenaga asing sebelum merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 Tahun 2019.
Dengan alunan muzik kontemporari dan tradisional gamelan, para graduan seramai 269 calon SPM tahun 2019 dengan segaknya telah naik ke pentas menerima sijil yang disampaikan dan didahului oleh Pn. Peggy Liow, Presiden Alumni SM All Saints dan SK St. Agnes, En. Yusak b. Yumboris @ Misek Umbaris, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SM All Saints, Encik Lifred Wong, Ahli Lembaga Penguruan Sekolah yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SM All Saints, Dean Musa Ambai, Chaplain SM All Saints dan diakhiri dengan Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau , Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Negeri Sabah.
Majlis juga telah disajikan dengan tayangan video dari kelas Tingkatan 5 yang terdiri daripada kelas 5 Amanah, 5 Bestari, 5 Cemerlang, 5 Integriti, 5 Kualiti dan 5 Perkasa yang dihasilkan dengan kreativiti masing-masing sebagai kenang-kenangan setelah meninggalkan alam persekolahan menengah akhir tahun ini.
Untuk menyemai motivasi intrinsik dalam diri murid-murid Tingkatan 5, kemuncak majlis pada petang itu adalah penyampaian Anugerah Pengetua yang telah diberikan kepada Danial Lau. Pada penghujung majlis, wakil murid-murid Tingkatan 5, Jerica Johnny dari kelas 5 Bestari telah menyampaikan ucapan beliau. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengetua, para guru dan ibu bapa atas sokongan dan motivasi yang diberikan semasa mereka bersekolah di sini.
Dengan ucapan wakil murid-murid Tingkatan 5 itu, maka sidang majlis graduasi telah ditutup oleh En. Han Wai Kuan. Majlis diakhiri dengan perarakan keluar para perarakan utama untuk meninggalkan dewan. Para tetamu kehormat, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid kemudiannya disajikan dengan jamuan ringan di perkarangan foyer dewan.
Turut hadir menjayakan dan memeriahkan majlis, Puan Nurwaniedah Winnie Abdullah, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu mewakili Pegawai Pendidikan PPD Kota Kinabalu.