Unit Kokurikulum dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tanjung Aru II telah menganjurkan Pesta Kendurian dan Hari Keluarga KOKUM SK Tanjung Aru II pada 31 Julai 2019. Program ini diadakan bersempena dengan musim buah-buahan yang sedang membanjiri negeri Sabah khususnya di sekitar daerah Kota Kinabalu ini. Objektif program ini adalah untuk memupuk rasa cintakan buah-buahan tempatan di kalangan warga SK Tanjung Aru II sekaligus menanamkan rasa bangga terhadap produk serta hasil tani tempatan.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program ini, antaranya senam robik dengan tema buah-buahan, pertandingan melukis dan mewarna, pdpc bertemakan buah-buahan tempatan, pertandingan gubahan buah Unit Beruniform, pertandingan buka durian menggunakan sudu dan teka jumlah buah.

Selain itu, program ini dimeriahkan lagi dengan acara masak memasak resepi berasaskan buah-buahan tempatan seperti cucur cempedak, serawa durian, asam pedas patin tempoyak, sambal bambangan, dalit tumis, bubur kacang serta cendol ABC durian.

Kemeriahan Pesta Kendurian dan Hari Keluarga KOKUM SK Tanjung Aru II ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada semua murid dan warga sekolah bersama-sama merasai keenakan rasa buah-buahan tempatan, tetapi apa yang penting program ini telah menambah keakraban dan mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan murid, guru, staf, pekerja swasta dan ibu bapa di sekolah ini.-  Oleh: Norayati M.I.

Leave a Reply

Proudly powered by Mohd Idremzizan