Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar (MaKep 2018)

Pada hari Sabtu, 27 April 2019, SMK Likas, telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar ( MAKeP) 2018. Majlis itu bermula pada pukul 7.45 pagi.Majlis ini dihadiri oleh penerima anugerah, guru-guru serta ibu bapa bagi memeriahkan majlis yang berlangsung di Dewan Resital, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik berdasarkan kepada keputusan Peperiksaan Akhir Tahun 2018 dan peperiksaan awam iaitu PT3, SPM dan STPM. Penganugerahan ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada pelajar supaya terus cemerlang khususnya dalam bidang akademik.

Majlis ini dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku. Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan doa dan ucapan oleh Encik Roslan Bin Idris, pengetua SMK Likas. Tepat pukul 8.45 pagi, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Gani Bin Senang, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.

Majlis ini diserikan lagi dengan persembahan daripada para pelajar. Antara persembahan yang menarik ialah persembahan Bicara Berirama yang terdiri daripada 27 orang pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 2, persembahan Koir  yang mempersembahkan lagu yang dicipta khas untuk MaKep 2018. Lirik lagu tersebut telah ditulis oleh guru SMK Likas sendiri iaitu Puan Grace Christie. Persembahan Nasyid dibawah bimbingan guru Pendidikan Islam SMK Likas turut mendapat tepukan dari mereka yang hadir. Pasukan Nasyid sekolah  ini pernah menyertai Karnival Dahwah Peringkat Daerah Kota Kinabalu (MTQ – Majlis Tadarus Quran). Para tetamu terhibur dengan persembahan yang disampaikan oleh para pelajar.

Acara kemuncak ialah penyampaian sijil dan hadiah kepada tiga pelajar terbaik daripada setiap kelas, diikuti dengan pelajar yang mendapat markah tertinggi bagi setiap subjek mengikut tingkatan. Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada guru yang berjaya mencapai peningkatan dari segi kualiti mahupun kuantiti bagi setiap subjek terlibat dalam peperiksaan PT3, SPM dan STPM. Seterusnya, Anugerah Khas Pengetua 2018 telah dianugerahkan kepada adik Mohamad Firdaus Bin Kasah Hamid atas kecemerlangannya dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.

Majlis ini berlangsung dengan lancar dan meriah sekali. Para tetamu dihidangkan dengan juadah sejurus selesainya majlis itu. Diharapkan agar majlis seperti ini akan menjadi pendorong kepada pelajar agar lebih cemerlang pada masa akan datang.

Spread the love

Leave a Reply

Please Login to comment
  Subscribe  
Notify of